Menerima Dengan Redha Musibah Yang Menimpa Diri

Oleh `SeNja Dikaki LangiT
08-Jan-2003 18:47:15
Assalamu'alaikum.

HIDUP kita memang penuh dengan dugaan dan ujian. Tanpa ujian dan dugaan, sudah tentu hidup kita yang cuma sementara ini akan menjadi hambar. Sesungguhnya apa saja yang ditakdirkan menimpa diri kita, mempunyai tujuan atau hikmahnya yang tertentu.
Hikmah itu pula kadangkala kita sedari setelah sesuatu ujian yang menimpa kita itu berlalu atau juga langsung tidak kita ketahui sehingga akhir hayat kita.

Allah berfirman, maksudnya: "Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun…." (Surah al-Mulk, ayat 2) Dalam mendepani ujian atau musibah yang melanda diri, kita sentiasa diingatkan supaya sentiasa bersabar dan menerimanya dengan hati terbuka serta penuh reda.

Inilah panduan yang cukup berharga untuk diri kita agar kita dapat mengatasi setiap dugaan dengan penuh ketakwaan dan kebijaksanaan. Dalam kitab Jami' al-Tirmizi disebutkan bahawa Rasulullah
www.myjodoh.net
bersabda: "Apabila Allah mencintai sesuatu kaum, maka Dia menguji mereka. Sesiapa yang reda, ia akan mendapat keredaan Allah dan sesiapa yang marah, ia akan mendapat kemurkaan Allah".

Kesimpulan yang dapat dibuat daripada hadis ini ialah keredaan Allah bergantung kepada sikap kita dalam menerima segala ujian-Nya. Sekiranya kita reda, maka sudah pasti Allah akan meredai kita dan menunjukkan laluan yang mudah untuk kita.

Akhirnya, kita akan dibimbing untuk menyelesaikan segala kesulitan dengan penuh ketenangan dan kebijaksanaan.
Sekiranya pula kita berasa marah, kecewa dan tidak reda dengan apa yang ditimpa Allah ke atas kita, kita sesungguhnya menyebabkan Dia memurkai kita. Tanpa kita sedari, kita sebenarnya sudah mencampakkan diri kita ke dalam kebinasaan. Tanpa keredaan Allah, bagaimanakah mungkin kita dapat melayari hidup ini dengan sebaik-baiknya, apatah lagi untuk menghadapi segala musibah dan dugaan yang juga datang daripada-Nya. Sudah pastilah jiwa kita tidak akan tenteram, langkah kita akan pincang dan hidup kita secara keseluruhannya, hilang arah.

Khalifah Umar ibn Abdul Aziz, pernah berkata "Keredaan terhadap sesuatu musibah adalah kedudukan yang tinggi. Namun, Allah menjadikan kesabaran sebagai jalan pilihan yang baik."
Muhammad ibn Idris al-Syafi'e, pula berkata Zubair ibn Ubad bercerita kepada kami daripada Sari ibn Hayyan, beliau berkata bahawa Abdul Wahid ibn Zaid berkata, "Keredaan ialah pintu Allah yang Maha Agung, syurga dunia dan lampu bagi ahli-ahli ibadah."
Kata-kata Abdul Wahid ini menjelaskan kepada kita bahawa keredaan kita terhadap setiap kurniaan Allah, suka dan duka, nikmat dan musibah, akan lebih mendekatkan kita kepada-Nya dan memberikan kita kehidupan yang penuh kebahagiaan di dunia ini.

Sekiranya kita menilai kedudukan diri kita ini yang begitu daif dan kerdil selain berharap hanya kepada Allah, kita akan menginsafi bahawa kita perlu menerima segala yang diberikan oleh-Nya. Siapakah kita untuk menolaknya dan siapakah kita untuk mencari-cari kekurangan pemberian berkenaan.

Rasulullah bersabda: "Demi Zat yang diriku ada di tangan-Nya, tiadalah Allah menentukan sesuatu keputusan kepada hamba-Nya yang mukmin melainkan akan membawa kebaikan kepadanya. Hal ini tidak berlaku kepada yang lain. Apabila Dia menimpakan kebaikan kepadanya, ia mensyukuri-Nya, maka hal itu membawa kebaikan kepadanya. Dan apabila Dia menimpakan penderitaan ke atasnya, ia lalu bersabar terhadapnya dan ini pun adalah baik baginya" (hadis riwayat Muslim).

Setiap perkara yang diturunkan oleh Allah sememangnya berkaitan apa yang kita lakukan. Ini termasuk musibah, iaitu sekiranya kita melakukan atau terbabit dalam perkara-perkara bertentangan dengan perintah-Nya.

Ini sesuai dengan firman Allah bermaksud: "Apa saja nikmat yang kamu peroleh ialah daripada Allah dan apa saja bencana yang menimpa kamu, maka daripada (kesalahan) diri kamu sendiri." (Surah al-Nisa', ayat 79)
Dalam satu ayat yang lain, Allah berfirman bermaksud: "Dan Kami uji mereka dengan (nikmat) yang baik-baik dan (bencana) yang buruk-buruk agar mereka kembali (kepada kebenaran)" (Surah al-A'raf, ayat 168).
Di samping itu, musibah yang diturunkan oleh Allah juga untuk menguji tahap kesabaran, tingkat kesyukuran selain mengukuhkan keimanan seseorang, khususnya bagi hamba-Nya yang beriman.
Daripada satu aspek, musibah yang ditimpakan Allah juga adalah rahmat yang besar bagi hamba-Nya yang mukmin ini, iaitu untuk membersihkan diri, bertaubat kepada Allah dan menyesali segala kesilapan yang telah dilakukan.

Hamba yang bertaubat samalah seperti orang yang dikatakan oleh Sa'id ibn Jubair: "Sesungguhnya seseorang hamba itu akan melakukan kebaikan, namun ia dimasukkan ke dalam neraka dan ada pula yang melakukan kejahatan lalu ia di masukkan ke dalam syurga. Ini disebabkan orang yang melakukan kebaikan itu berasa 'ujub dengan kebaikannya. Sedangkan yang melakukan kejahatan pula menginsafi dirinya dan memohon ampun kepada Allah serta bertaubat kepada-Nya." Reda, adalah amalan hati, namun adalah lebih baik lagi jika kita dapat menterjemahkannya dalam kata-kata, iaitu pujian terhadap Allah.

Tindakan memuji Allah ini adalah sangat utama sehingga ada yang menyatakan bahawa pujian itulah yang disebutkan reda.
Dalam sebuah hadis dijelaskan, "Orang pertama yang dipanggil untuk masuk ke syurga ialah orang yang selalu memuji Allah, sama ada dalam kesenangan mahupun dalam penderitaan."

Dalam perkara ini, Rasulullah memberikan kita panduan yang benar-benar berharga. Sebagai contoh ialah hadis yang menyebut bahawa sekiranya Baginda menerima berita yang menyenangkan, Baginda akan segera mengucapkan: "Segala puji bagi Allah dengan kenikmatan-Nya. Sempurnalah segala kebaikan."

Sesungguhnya Baginda orang yang paling banyak memuji Allah dan demikianlah Baginda amat menggalakkan umatnya melakukan perkara yang sama dengan penuh kerelaan, sama ada dalam kesenangan mahupun penderitaan.


Tindakan memuji Allah dengan rela disebabkan dua perkara :-

1. 1. Kesedaran hamba bahawa Allahlah yang menentukan sesuatu musibah yang ditimpa ke atas dirinya. Ia juga meyakini bahawa Allahlah sebaik-baik Pencipta dan Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

2. 2. Hamba berkenaan juga hendaklah yakin bahawa pilihan Allah untuk hamba-Nya itu adalah lebih baik daripada pilihannya atas diri sendiri.

Sekiranya kita ditimpa musibah, kita hendaklah menyedari bahawa yang memberikan musibah itu ialah Allah Yang Maha Bijaksana dan Maha Pengasih.

Sesungguhnya Allah tidak menimpakan musibah itu untuk memusnahkan diri kita dan bukan untuk menyeksa kita.

Sebaliknya, ia semata-mata bertujuan menguji kesabaran dan keredaan, menguji kadar keimanan, mendengar permohonan ampun dan taubat selain melihat bagaimanakah caranya kita mengetuk pintu rahmat-Nya dengan hati yang khusyuk serta tangan menadah, memohon dipermudahkan laluan seterusnya.

Renungilah kata-kata Abdul Kadir al-Jailani kepada anaknya: "Wahai anakku, sesungguhnya musibah itu datang bukan untuk merosakkan dirimu tetapi untuk menguji kesabaran dan keimananmu. Wahai anakku, takdir ialah seperti binatang buas dan binatang buas tidaklah memakan bangkai".

Wasallam.

~penjejak-Badai~







~DeRiTa Itu InDah~

 

webmaster@mymasjid.net.my