Berbelanja: Ikut Keperluan, Bukan Kemampuan

Oleh ida*Alegra*
01-Sep-2002 16:03:18
BERBELANJA: IKUT KEPERLUAN, BUKAN KEMAMPUAN
Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud:
“Saya memastikan adanya tiga bagi tiga: Bagi orang
yang sibuk dengan dunia, yang rakus kepada dunia dan
yang bakhil dengan dunia, maka pasti dia akan
menderita kekurangan yang tidak ada cukupnya, yang
sibuk yang tidak ada lapangnya dan risau yang tidak
ada senangnya.”
Begitulah peringatan Rasulullah kepada umatnya yang
Allah kurniakan rezeki yang melimpah ruah. Baginda
sangat bimbang dengan si kaya yang bersifat loba
dengan harta dan tidak mahu membantu si papa, mereka
ini dilaknat oleh Allah swt. Jika mereka bersikap
demikian nescaya walaupun kaya harta namun jiwa mereka
miskin. Sentiasa tiada merasa cukup dan puas dengan
apa yang ada. Justeru itu mereka sibuk memburu dunia
dengan rakusnya dan bersikap bakhil dengan dunia.
Akhirnya mereka tiada menemui kebahagiaan dan
ketenangan dalam hidup. Jiwa
www.myjodoh.net
terasa kosong dan
menderita. Dunia yang dikejar telah menipudaya dan
mengecewakannya. Lebih malang lagi ialah mereka yang
miskin harta dan miskin jiwa. Iaitu si miskin yang
tidak redha dengan kemiskinannya. Mereka menganggap
Tuhan tidak adil kerana membiarkan hidup mereka
melarat. Sedarkah mereka bahawa junjungan besar juga
tergolong di dalam orang-orang yang miskin. Baginda
senang dengan cara hidup sedemikian, melalui cara
inilah akan mendekatkan dirinya dengan Tuhan. Kiranya
baginda ingin kaya cukup dengan mukjizat yang Allah
kurniakan padanya, gunung Uhud boleh bertukar menjadi
emas dengan sekelip mata.
Siti Fatimah, anak kesayangan Rasulullah, diasuh oleh
baginda hidup di dalam serba kekurangan dan mengambil
apa yang perlu saja di atas dunia ini. Dia dididik
begitu rupa supaya hatinya tidak cinta dunia dan
supaya menjadi wanita contoh kepada wanita lainnya.
Seseorang yang kukuh imannya di dada akan menjadi
orang yang kaya jiwa walaupun miskin harta. Apabila
jiwa kaya, rumah sempit terasa luas, hidup miskin
terasa kaya sebab hatinya telah tertanam sifat redha
dan Qanaah (memada dengan apa yang ada).
Oleh itu jangan rasa dukacita dengan kemiskinan harta,
sebaliknya bersedihlah dengan kemiskinan jiwa.
Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya makhluk yang sangat dikasihi oleh Allah
ialah orang yang fakir miskin, sebab manusia yang amat
dikasihi Allah ialah para nabi, maka Allah menguji
mereka dengan kefakiran dan kemiskinan.” Riwayat
Abdullah bin Umar
Malah baginda selalu berdoa kepada Allah agar
dimatikan di dalam golongan orang miskin yang redha
dengan kemiskinannya serta dibangkitkan di Akhirat
nanti bersama-sama orang yang miskin…. Doanya yang
bermaksud:
“Ya Allah matikanlah aku sebagai orang fakir miskin,
dan janganlah matikan aku kaya, dan kumpulkanlah aku
di mahsyar dalam golongan orang-orang miskin pada hari
Kiamat. Maka sesungguhnya yang amat celaka ialah orang
yang miskin di dunia dan terseksa di akhirat.”
Seboleh-bolehnya lemparkanlah sejauh-jauhnya
angan-angan untuk memiliki rumah mewah di dunia ini.
Seandainya kita dikurniakan rumah besar, pastilah
lebih banyak harta yang mesti dicari bagi mengisi
setiap ruang rumah. Jangan jadikan rumah kita seperti
muzium, dihiasi dengan patung-patung atau
binatang-binatang buas yang dikeraskan atau mini bar
ataupun gambar-gambar lucah yang bergantungan di
dinding.
Rumah yang menyimpan barang-barang haram tidak akan
dijengahi oleh malaikat Rahmat. Tidak hairanlah
timbulnya berbagai-bagai persengketaan di antara ahli
kerana seluruh isi rumah dihiasi dengan kawan-kawan
syaitan. Gantungkanlah ayat-ayat suci Al Quran atau
pemandangan-pemandangan alam yang menyejukkan mata
memandang di samping dapat mengingatkan kepada
kebesaran Allah swt.
Kalau kita bijak berbelanja, tidak timbul masalah
kesempitan wang akibat membeli barang-barang yang
tidak perlu. Sebaik-baik cara untuk berbelanja ialah
dengan menyenaraikan dahulu apa yang hendak dibeli
beserta anggaran harganya. Selalu tanyakan diri setiap
kali hendak membeli sesuatu: “perlukah atau tidak aku
membeli benda-benda ini?” Sekiranya anda rasakan
bahawa sesuatu benda itu amat penting untuk keperluan
keluarga maka barulah dibeli. Seelok-eloknya
berbincang dahulu dengan suami sebelum membeli sesuatu
semoga keputusan yang diambil itu adalah yang terbaik
dan bukan atas dasar paksaan.
Sebaliknya tabiat yang menganggap diri anda ‘mampu’
selalunya membawa kepada pembaziran. Akhirnya mengeluh
sendiri kerana membeli benda-benda yang tidak menentu.
Kepada para isteri, sedarlah bahawa perhiasan yang
cantik-cantik itu hanya untuk tatapan suami dan bukan
untuk ditonjolkan kepada orang ramai. Untuk berhias di
depan suami anda tidak perlu memiliki berpuluh-puluh
pasang pakaian yang hanya dipakai sekali dua, kemudian
dibiarkan bergantungan di dalam almari. Perbelanjaan
untuk membeli alat-alat make-up juga dapat dikurangkan
jika isteri sedar bahawa make-up itu hanya digunakan
semasa berada di sisi suami. Dengan itu wang yang
hendak dibelanjakan untuk membeli alat-alat make-up
yang beratus-ratus ringgit harganya itu dapat
dijimatkan. Ingatlah, isteri yang beriman itu
perhiasan indahnya untuk suaminya sahaja dan isteri
yang beriman itu berjimat cermat di atas harta
suaminya.
Sifat suka menunjuk-nunjuk kepada orang lain
menyebabkan kaum wanita berlumba-lumba untuk menyaluti
tubuh dengan barang kemas dengan sebanyak-banyaknya.
Kadang-kadang sampai penuh jari-jari dengan
cincin-cincin yang pelbagai bentuk, anting-anting
bertingkat-tingkat ditindik di telinga, rantai dua
tiga lapis dileher dan banyak lagi. Tapi bila
berhadapan dengan suami, seurat emas pun tidak lekat
di badan. Alasannya, susah hendak buat kerja rumah.
Bila seluruh badan sudah diberati dengan perhiasan
memanglah merimaskan untuk membuat kerja. Oleh itu
memadailah dengan cincin sebentuk dua, rantai seurat,
gelang dua tiga urat dan sunting sepasang dua.
Di samping boleh mengelakkan berlakunya pembaziran,
suami akan bertambah sayang kerana isterinya suka
bercantik-cantik hanya untuknya. Haram hukumnya
mencantikkan diri untuk orang lain yang bukan muhrim
kita.
Selain dari itu, keperluan dapur boleh dijimatkan
dengan hanya membeli makanan yang berzat tetapi murah.
Makanan yang seimbang tidak semestinya yang mahal.
Anda boleh menanam sendiri beberapa jenis ulam yng
mudah tumbuh di kawasan rumah atau menanamnya di dalam
pasu. Cara ini juga boleh mengelakkan makanan anda
diracuni bahan kimia yang membahayakan kesihatan. Satu
sebab kenapa manusia zaman moden ini mudah dihinggapi
pelbagai penyakit yang pelik-pelik, yang tidak pernah
dialami oleh nenek moyang kita dulu, ialah kerana
memakan makanan yang disuburkan oleh bahan kimia.
Bagi anak-anak pula, elakkan dari membelikan mereka
makanan ringan yang tidak berzat. Pakaian anak-anak
juga tidak perlu dibeli dari jenama yang mahal sebab
anak-anak akan cepat membesar dan pakaian-pakaian itu
tidak akan diperlukan lagi. Pilihlah buku-buku terbaik
yang tidak begitu mahal harganya untuk bahan bacaan
anak-anak terutama buku-buku mulia. Jangan berkira
sangat kalau hendak menghantar anak-anak ke kelas
pengajian agama dengan bayaran yang tidak seberapa.
Sesungguhnya apabila anak-anak anda terdidik dengan
ilmu agama, itulah jariah ibu bapa di alam barzakh
kelak. Sebaliknya anda akan menerima saham neraka
kiranya menghantar anak-anak ke kelas muzik yang
melalaikan.
Bagi isteri-isteri yang hobinya suka memasak,
sedekahkanlah kepada mereka yang memerlukan.
Syaratnya, mesti meminta izin dari suami terlebih
dahulu. Kelebihan mereka yang suka bersedekah ada
dinyatakan di dalam hadis Rasulullah saw yang
bermaksud:
“Tidak akan berkurangan harta kerana sedekah dan tiada
seorang yang memaafkan suatu aniaya kezaliman
melainkan Allah menambahkan kemuliaannya dan tiada
seorang yang tawadhuk (merendah diri) kerana Allah
melainkan Allah menaikkan darjatnya.” Riwayat Abu
Hurairah.
Anda juga boleh menyumbangkan kewangan yang di luar
keperluan rumahtangga dengan cara mengeluarkan derma
khairat kepada masjid, surau, anak-anak yatim,
janda-janda yang tidak terbela, membantu mangsa-mangsa
kebakaran atau peperangan. Setiap jariah yang baik
yang terus dimanfaatkan akan memberi saham kesenangan
di akhirat biarpun anda sudah berada di dalam kubur.
Rebutlah peluang ini demi kesejahteraan hari kemudian.

nobody drowns by falling into the water, they drown because they stay there..

 

webmaster@mymasjid.net.my