Allah Jalla Jalaluh

Oleh Badar
20-Aug-2002 13:45
Allah adalah nama yang paling mulia yang telah ditetapkan untuk zat yang tertentu sahaja. Suatu zat yang murni semurni-murninya. Kemurnian yang tidak boleh dilembagakan dengan sesuatu apapun. Dengan-Nya sahajalah manusia beriman. Dengan-Nyalah sahaja manusia berubudiyah. Daripada-Nya manusia mengenali kehidupan dan kepada-Nyalah mereka kembali. Sama ada mereka bersedia atau tidak, sama ada mereka bersetuju atau sebaliknya.

Dari Mana? Kenapa? Dan Ke Mana?

Dalam menghayati kalimah murni ini manusia memerlukan kepada suatu jawapan penyelesaian. Jawapan kepada persoalan-persoalan yang tidak pernah renggang atau jauh daripada minda dan perasaan. Persoalan yang telah timbul sejak dahulu hingga kini, terutama pada saat-saat kesunyian, kekosongan atau ketika lintasan awal mengusik perasaan dalaman mengenai kematian.

Manusia Pilihan

Tidak ada manusia yang paling bertuah dan terpilih, kecuali jawapan yang tepat yang dapat memberikan kepada persoalan-persoalan ini. Siapa manusia sebenar? Kenapakah manusia diberi peluang hidup di dunia? Dan ke manakah pula manusia akhirnya?

Manusia akan memperolehi jawapannya yang tepat andainya ia mengambil jawapan yang telah disediakan melalui petunjuk Allah SWT dan Rasul-Nya (al-Quranul al-Karim dan as-Sunnah Nabawiyyah). Manusia perlu mengambil asas-asas aqidah yang benar serta syariatnya yang terbina daripada asas-asas tersebut. Manusia perlu mengambil Islam dan daulahnya yang pernah dipersaksikan begitu lama dalam realiti hidup generasi awal pimpinan Rasulullah SAW. Manusia perlu mengambil seluruh rantaian sirah kehidupan pewaris-pewarisnya dan mujahid-mujahid Islam yang sangat jelas kefahaman dan penghayatan serta iltizam dan intizam mereka sepenuhnya dengan din Allah SWT dalam apa jua keadaan dan suasana.

Kalimatullah Tidak Akan Terguris

Dalam konteks mendapatkan hakikat kefahaman kalimah mulia ‘Allah’, manusia wajar merenung sejenak dengan rasa hati yang lembut dan murni. Manusia seharusnya memikir jauh buat seketika dengan mindanya yang terarah terhadap kalimah agung “Allahur Rahman AllahurRahim“ yang disaluti anekarupa kerahmanan, kalimah yang hanya layak menerima segala pujian dan kemuliaan.
Kerahmatan-Nya yang terang nyata pulangannya untuk makhluk ciptaan-Nya semata-mata.

Biar seluruh manusia sejak daripada Adam AS, dan makhluk lain diberi ruang untuk hidup kemudian semua mereka melupakan Allah SWT, atau mengkufur-kan-Nya terus menerus, nescaya tidak akan terguris sedikit pun hakikat kemurnian Kalimatullah. Tidak akan berkurangan kesultanan dan ketuanan-Nya, walau sebesar zarah atau lebih halus daripada itu. Tidak ada sebarang kepantasan pintasan cahaya yang dapat menjerebui ketajaman sinaran kebesaran Nur Allah.

Daya Menjinak Hati Dan Fitrah Salimah

Jika manusia berbuat demikian, kerugian dan kebinasaanlah yang menimpa manusia. Keadaan ini berpunca daripada kejahilan serta sifat keangkuhan manusia untuk mengenal penciptanya
atau kesesatan dan buta hati manusia untuk memperhambakan dirinya kepada Rabbul ’Alamin, atau nafsu ammarah bimbingan syaitan telah menjadi ilahnya. Pada ketika tertentu manusia meyakini Allah SWT, sedang pada masa yang lain pula ia menjuarai jahiliyyah. Itulah kehancuran dan kebinasaan yang tidak berhujung dan bertebus walau sebesar bumi dan segala isinya atau setinggi langit dan segala kandungannya sebagai gantian melainkan hanya dengan maghfirah Allah SWT dan rahmat-Nya sahaja.

Manusia memang mempunyai daya untuk menjinakkan hati dengan sifat maghfirah Allah SWT dan sifat rahmah-Nya. Manusia memang ada fitrah salimahnya yang tidak berasa asing dengan Al Haq.

Nas-Nas Al Quran

Ada banyak ayat-ayat Allah SWT yang menjelaskan manusia suka mengingkari sifat-sifat dan kekuasaan-Nya serta akibatnya. Firman-Nya yang bermaksud :

“Antara manusia ada orang yang membantah tentang Allah tanpa ilmu pengetahuan dan mengikuti setiap syaitan yang sangat jahat, yang telah ditetapkan terhadap syaitan itu, bahawa barangsiapa yang berkawan dengan dia, tentu dia akan menyesatkan, dan membawanya ke azab neraka.”(Al-Haj : 3-4)

Nas al-Quran ini jelas menunjukkan kefahaman yang perlu diambil sebagai panduan untuk mendapatkan kesedaran keimanan. Ia dapat dirumuskan dengan ringkas iaitu betapa hebatnya ilmu manusia yang menjurus ke arah pengenalan Allah SWT sebagai Rab lalu membolehkannya terus berubudiyah.Sekaligus ia juga menghapuskan kejahilan yang menjadi teman setia hawa nafsu dan syaitan yang menyesatkan dengan kepekatan keangkuhan.

Perkara paling malang sekali untuk mereka ialah Allah menyediakan hukuman seksaan api neraka yang tidak seorang pun dapat melepaskan diri daripadanya. Mohon dilindungi Allah SWT ke atas
semua mukminin mukminat dan muslimin muslimat daripada bencana kemurkaan Allah Jalla Jalaluh.

Begitu juga sebaliknya terdapat sebahagian manusia yang dirahmati Allah SWT dengan penganugerahan kemenangan ke atas mereka. Firman-Nya yang bermaksud :

“Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin, apabila mereka dipanggil kepada Allah dan Rasul-Nya agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka ialah ucapan: Kami mendengar, dan kami patuh. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung. Dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya dan takut kepada Allah dan bertaqwa kepada-Nya, maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan.”

Berdasarkan nas ini jelas betapa besar erti dan peranan iman yang membuahkan ubudiyah, kepatuhan dan ketaatan, ketakutan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Iman sebegini akan dianugerahkan kemenangan oleh Allah SWT

>>apalah erti cinta tanpa pengorbanan<<

 

Please login or register to leave a comment.
webmaster@mymasjid.net.my