Keimanan diuji dengan pelbagai bentuk, cara

Oleh puterinuratie..
10-Apr-2004 07:37:01

DALAM sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Tabrani daripada Abu Umamah, Allah berfirman kepada malaikat-Nya bermaksud : “Pergilah kepada hamba-Ku. Lalu timpalah bermacam-macam ujian kepadanya kerana Aku mahu mendengar suaranya.”

Hadis di atas menjelaskan bahawa Allah memerintahkan malaikat-Nya yang tidak pernah derhaka dan tetap melaksanakan apa yang Allah perintahkan kepada mereka untuk melakukan pelbagai ujian dan cubaan kepada hamba-hamba-Nya.

Dengan cubaan dan ujian ini, diharapkan akan terkeluarlah suara hamba itu. Namun begitu, sekiranya tidak terkeluar suara hamba itu, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui sesuatu yang tersembunyi dalam hati hamba-Nya.

Sesungguhnya kehidupan ini tidak sunyi daripada kesenangan dan kesusahan, kesukaan dan kedukaan yang silih berganti. Oleh itu, barang sesiapa yang beranggapan kehidupan ini adalah kesenangan, kemewahan semata-mata atau penuh dengan kesukaran dan kesusahan selama-lamanya, ia adalah salah.

Melalui hadis di atas, Allah mengingatkan bahawa kesenangan dan kesusahan itu adalah ujian ke atas hamba-Nya dan ia adalah sunnatullah.

Oleh itu, kehidupan ini dipenuhi dengan ujian dan cubaan daripada Allah. Ini kerana sesuatu yang tidak diuji, tidak akan kelihatan keasliannnya. Umpama manusia gagal untuk menentukan emas tulen dengan tiruan.

Maka, untuk menentukan emas itu tulen, maka ia perlu dinilai ketulenannya. Demikianlah halnya manusia, di mana mereka telah mengaku diri beriman. Tentulah Allah akan menguji sejauh mana keimanan mereka terhadap-Nya. Hal ini dijelaskan dalam firman Allah bermaksud: “Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka tidak diuji?” (Surah al-Ankabut, ayat 2-3).

Melalui ayat di atas, Sayyid Qutb (1327-1386 Hijrah) menafsirkan sesungguhnya iman itu bukanlah sebuah kata-kata yang diucap, malah iman adalah suatu hakikat yang mempunyai tugasnya, suatu amanah yang mempunyai beban tanggungjawabnya, suatu jihad yang memerlukan kesabaran dan suatu perjuangan yang memerlukan ketabahan.

Manusia tidak cukup dengan hanya berkata: “Kami telah beriman.” Mereka tidak dibiarkan membuat dakwaan seperti itu hingga terdedah kepada ujian dan membuktikan kebenaran dakwaan mereka. Mereka juga perlu keluar daripada ujian itu dengan hati bersih sebagaimana api menguji emas untuk memisahkan unsur logam yang murah melekat padanya. Inilah makna asal kata-kata ujian dari segi bahasa. Ia mempunyai tujuannya, bayangannya dan saranannya. Begitulah juga ujian itu bertindak pada hati hati manusia.

Dalam ayat lain, Allah menerangkan secara jelas bahawa hubungan manusia dengan kehidupan adalah hubungan ujian dan cubaaan. Firman Allah bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi itu sebagai perhiasan, agar kami menguji mereka siapakah di antara mereka yang terbaik amal perbuatannnya.” (Surah al-Kahfi, ayat 7-8. Ayat ini menjelaskan bahawa tujuan Allah mendatangkan pelbagai ujian ke atas hamba-Nya untuk menilai siapakah di antara hamba-hamba-Nya yang terbaik. Yang terbaik amalnya itulah adalah orang terbaik di sisi Allah.

Ujian yang Allah datangkan kepada hamba-Nya tidak berupa kesusasahan, kesulitan dan kesakitan semata-mata. Malah, manusia perlu berwaspada kerana ujian dan cubaan akan datang kepada mereka dalam bentuk kesenangan, kemewahan dan kekayaan. Ini secara terang difirmankan oleh-Nya bermaksud: “Dan kami akan uji kalian dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu akan kembali.” (Surah al-Anbia, ayat 35).

Sebenarnya ujian Allah ke atas hamba-Nya dengan nikmat harta kekayaan dan pelbagai kesenangan, pada hakikatnya lebih berat daripada ujian dengan bencana, seksaan dan kesusahan. Ini kerana berapa ramaikah orang yang memiliki kekayaan, tetapi hidupnya penuh dengan kecelakaan kerana gagal mengguna atau menyalurkannya pada tempat sewajarnya.

Kekayaan yang dimiliki diuji oleh Allah. Ini jelas diterangkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh at-Tarmizi bermaksud: “Sesungguhnya bagi setiap umat ada ujian dan ujian bagi umatku ialah harta kekayaan.”

Demikian juga dengan orang yang diuji dengan pangkat dan kekuasaan, hinggakan mereka menyangka mereka telah berkuasa sepenuhnya dan memiliki segala-galanya. Hal ini diperingatkan Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas ketika menganggap dirinya serba cukup. Sesungguhnya hanya kepada Tuhanmu tempat kembali.” (Surah al-Alaq, ayat 6-8)

Ayat ini menegur sikap manusia yang angkuh dan sombong yang menganggap mereka memiliki segala-galanya dan boleh melakukan apa saja selepas mendapat kekuasaan dan pangkat dalam masyarakat. Pada hal, apa yang dimiliki hanya sedikit daripada kurniaan Allah kepada hamba-Nya.

Rasulullah bimbang umatnya yang diulit dengan kemewahan yang tidak ingatkan Allah. Ini kerana kehancuran umat terdahulu adalah kerana kemewahan. Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Bukhari bermaksud: “Demi Allah, bukanlah kemiskinan yang aku khuatirkan atas kamu, akan tetapi aku khuatir sekiranya kemewahan dunia yang kamu dapat sebagaimana yang telah diberikan kepada orang sebelum kamu, lalu kamu bergelumang dalam kemewahan itu hingga binasa, sebagaimana bergelumang dan binasanya umat terdahulu.”

Ujian berat bagi kaum lelaki ialah ujian terhadap wanita. Ini dijelaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari bermaksud: “Sepeninggalanku tiadalah yang ujian yang lebih berbahaya kepada kaum lelaki kecuali godaan kaum wanita.”

Ujian yang menyebabkan manusia mudah tergelincir pula ialah mengenai akidah dan agama. Ini kerana, ramai orang yang mengaku dirinya Muslim, beriman tetapi setelah diuji Allah akan iman dan agamanya dengan pelbagai cubaan, ternyata ramai antara mereka yang lemah dan tergelincir daripada landasan yang benar.

Perkara itu dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Dan antara manusia ada yang berkata: Kami beriman kepada Allah. Tetapi apabila mendapat gangguan dan rintangan dalam melaksanakan perintah Allah, dia menganggap gangguan itu seakan-akan seksaan daripada Allah. Dan jika datang pertolongan daripada Allah; mereka pasti akan berkata: Sesungguhnya kami berserta dengan kamu (kaum mukmin).

“Sesungguhnya bukankah Allah lebih mengetahui apa yang ada dalam dada manusia? Dan sesungguhnya Allah mengetahui orang yang beriman dan benar-benar mengetahui orang yang munafik.” (Surah al-Ankabut, ayat 10-11.

Oleh itu, sekiranya diuji Allah hendaklah kita bersabar kerana dengan bersabar kita akan mendapat ganjarannya iaitu dihapuskan dosanya. Ini dijelaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh at-Tarmizi bermaksud: “Ujian yang tiada henti-hentinya menimpa kaum mukmin baik lelaki atau wanita yang mengenai diri, harta dan anak-anaknya, tetapi dia bersabar, dia akan menemui Allah dalam keadaan tidak berdosa.”

Daripada huraian atas dapat disimpulkan, ujian yang Allah turunkan ke atas hamba-Nya mempunyai pelbagai bentuk. Ada ujian yang menimpa tubuh, anak, harta kekayaan, pengaruh, kekuasaan, pangkat, akidah dan sebagainya sama ada dalam bentuk kesenangan mahupun kesusahan. Tujuan Allah memberi ujian itu untuk melihat siapakah orang yang benar-benar beriman dengan-Nya, untuk menghapuskan dosa hamba-Nya dan menguji kesabaran hamba-Nya supaya benar-benar menjadi seorang Muslim berkualiti.
Allah tidak memandang kepada paras rupa,tetapi melihat kepada hati dan amalan... tidak ada beza seseorg di sisi Allah kecuali iman dan taqwa...

 

Please login or register to leave a comment.
webmaster@mymasjid.net.my