Ibu, Pantai, Laut, Dan Ombak

Oleh Khairanie@Cutie
04-May-2003 21:04
SEMEMANGNYA pantai agak jauh dari kampung kami. Itu menjadi alasan ibu yang cukup kuat untuk tidak selalu membawaku ke pantai. Aku pun tidak pernah mendesak ibu untuk membawaku ke pantai selalu. Aku semacam mengerti kesulitan ibu. Tetapi apabila ibu sesekali mengajakku ke pantai, terasa mengalir keseronokan dalam diriku.
"Pantai ini cantik," kata ibu ketika kaki kami memijak pasir pantai.
Aku akur akan kata-kata ibu itu. Pantai ini cantik. Pasirnya putih. Pada pantai yang cantik dan pasirnya yang putih inilah aku berlari-lari menuju ke gigi air. Aku berdiri di gigi air melihat laut. Aku pun tidak tahu mengapa sesekali ke pantai ini, aku semestinya berlari menuju ke gigi air dan berhenti melihat laut. Mungkin laut agak jauh dari kampung kami. Mungkin kerana laut itu cantik. Itulah barangkali yang menyukakan mataku melihat laut. Entahlah! Tetapi yang aku paling suka lihat ialah ombaknya. Ombaknya melambung tinggi. Kemudian ombak jatuh ke air semula. Melambung lagi. Jatuh lagi.
Berkali-kali ombak melambung dan jatuh dengan lambungannya yang makin merendah, akhirnya ombak tiba ke gigi air dalam bentuk alunannya yang kecil. Alunannya yang kecil itu meninggalkan buih-buihnya di gigi air. Kemudian alunannya yang kecil itu menyurut ke laut semula. Buih-buih ombak di gigi air pula mula pecah-pecah. Kemudian hilang.
Ketika asyik melihat laut dan ombaknya, ibu datang dan berdiri di sisiku. Ibu juga melihat laut. Kukatakan kepada ibu bahawa laut cantik.
"Laut cantik dan hidup." Ibu menambah kata-kataku tanpa melepaskan laut dari matanya.
"Laut tak hidup, ibu."Kusanggah pantas kata-kata ibu kerana aku tahu bahawa laut tidak hidup. "Laut tak bernafas macam kita. Laut tak boleh berlari-lari macam kita. Laut tak boleh buat apa-apa yang kita boleh buat."
Ibu bersikap bersahaja menerima sanggahanku. Ibu tidak berkata apa-apa lagi. Tetapi sejak itu aku tidak pernah mendengar ibu berkata kepadaku bahawa laut hidup. Aku pun sejak itu tidak mengendahkan lagi kata-kata ibu itu.
Memang aku tidak mengerti apa-apa tentang laut ketika itu. Aku hanya melihat laut itu cantik. Ombaknya juga cantik. Kerana laut dan ombaknya cantik, aku suka melihat laut. Laut yang tidak hidup.
Puas melihat laut dan ombaknya, aku bermain-main alunan ombak kecil yang tiba ke gigi air. Aku akan melompat setiap kali alunan ombak kecil itu menghampiri kakiku. Ada keseronokan yang kurasakan apabila alunan ombak kecil itu tidak terkena kakiku, walaupun kakiku yang jatuh semula itu akan terkena air juga.
Sesekali aku berjalan-jalan di pantai mengutip kulit-kulit siput. Kulit-kulit siput itu nanti akan kulepaskan ke dalam balang kaca. Kubayangkan kulit-kulit siput itu perlahan-lahan tenggelam dan diam di dasar balang kaca. Ikan laga peliharaanku di dalam balang kaca itu akan kelihatan bertambah cantik dengan adanya kulit-kulit siput di dasarnya.
Atau paling tidak pun aku akan duduk menghala ke laut. Aku akan mengorek pasir pantai dengan kedua-dua tanganku. Pasir di kedua-dua tanganku itu kemudian kuletakkan di depanku hingga akhirnya mula membusut kecil. Busut kecil itu kemudian kukejapkan dengan kedua-dua tanganku supaya menjadi kukuh. Kuanggap busut pasir itulah bukit yang kubuat paling kukuh di pantai.
Tahun-tahun mendatang kemudiannya, aku tidak ke pantai bersama-sama ibu lagi. Usia semacam mula menjarakkan aku daripada ibu. Telah terasa semacam ada kedewasaan yang tumbuh dalam diriku. Aku berasa malu pada usia yang kurasa dewasa, aku masih mengikut ibu ke pantai.
Usia telah menjadikan aku memilih sendirian sahaja ke pantai. Di pantai, kuulangi kebiasaanku berdiri di gigi air melihat laut dan ombak. Cuma aku tidak melompat lagi apabila alunan kecil ombak tiba ke gigi air. Kubiarkan alunan ombak kecil itu membasahi kakiku dalam ingatan aku pernah melompat apabila alunan ombak kecil menghampiri kakiku.
Aku juga telah tidak mengutip kulit-kulit siput yang terdampar di pantai lagi. Kulit-kulit siput, ikan laga, dan balang kaca telah lama kutinggalkan. Dunia itu pun makin menjauh dalam hidupku. Dunia yang kuisikan siangnya dengan keseronokan bermain-main dan malam yang tiba menyenyakkan tidurku kerana keletihan, kini hanya hidup dalam ingatanku.
Bukit pasir!
Bukit pasir juga telah menjauh dalam hidupku. Tetapi aku ingat benar bukit pasir yang kubuat di gigi air pada suatu petang itu tidak pernah sempat membentuk bukit. Ombak terlalu mengganas petang itu. Ombak terlalu pantas tiba ke gigi air. Terlalu pantas juga ombak meruntuhkan bukit pasirku.
Aku tidak mahu mengalah pada ombak ganas. Juga aku tidak mahu mengalah dengan diriku. Aku membuat bukit pasir lagi. Bukit pasirku runtuh lagi. Akhirnya aku mula marah pada ombak yang meruntuhkan bukit pasirku. Akhirnya aku mula marah pada bukit pasirku yang tidak dapat melawan ombak.
Saat-saat itu ibu datang dan bercangkung di sisiku. Ibu mungkin mengerti perasaanku. Lantas itu ibu berkata kepadaku, "Jika bukit pasir Aiman sering diruntuhkan ombak, Aiman buatlah bukit pasir yang jauh dari gigi air. Ombak tidak akan meruntuhkannya lagi."
"Tapi Aiman suka buat bukit pasir di gigi air. Biarlah ombak yang datang menyentuhnya sahaja. Ombak kemudian melantun ke laut semula. Aiman suka begitu." Kukatakan kepada ibu tentang impianku pada bukit pasir yang kubuat di gigi air itu.
Ibu tidak tersenyum atau mendiamkan diri lagi seperti kusanggah kata-katanya bahawa laut tidak hidup. Ibu tidak dapat menerima impianku di luar keupayaanku. Pun begitu ibu tidak marah kepadaku. Ibu hanya bertanya kepadaku, "Aiman pernah dengar pantun yang mulanya berbunyi Budak-budak main tombak tak?"
Kukatakan kepada ibu aku tidak pernah mendengarnya.
"Aiman nak dengar tak?"
"Macam mana bunyinya?"
Ibu pun menutur pantun itu. Hingga kini pantun itu subur dalam ingatanku.
Budak-budak main tombak,
Tombak diikat dengan rantai;
Kalau takut pada ombak,
Di gigi air ombak sampai.
Ibu kemudian menceritakan maksud pantun itu kepadaku. Kata ibu, orang yang mudah mengalah pada ombak, marah dan kecewa dengan ombak, janganlah bermain di gigi air. Ombak selalu tiba di gigi air. Ombak tiba dalam alunannya yang kecil. Ombak tiba juga dalam alunannya yang ganas.
Ombak tidak pernah peduli pada apa-apa yang ada di gigi air. Ombak akan meruntuhkan sesuatu yang tidak kukuh di gigi air. Ombak akan menarik bersama-samanya ke air ketika ombak berpatah balik ke laut, kata ibu lagi.
Hingga usia yang kurasa dewasa ini, aku tidak pasti adakah marah dan kecewa acap kali mengisi dunia tertutupku. Pada ketidakpastian inilah aku berhijrah ke dunia terbuka. Bangunan-bangunan batunya berdiri tinggi, angkuh, keras, dan kaku. Jalan-jalannya bersimpang-siur. Kenderaan bertali arus di atasnya.
Manusianya juga menali arus di kaki lima bangunan-bangunan batu. Wajah-wajah manusia yang menali arus itu kelihatan begitu konyol. Adakah kekonyolan wajah itu pancaran kekonyolan jiwa manusianya?
Manusianya mula kukenal kemudiannya. Manusianya menyalut licin kepura-puraan pada warna kejujurannya. Kata mulut bukan kata hatinya. Kata hati bukan kata mulutnya.
Aku kebingungan. Jurang manusia dunia tertutupku dengan manusia dunia terbukaku lebar sekali. Kubelajar menerima hakikat bahawa aku berada di dunia terbuka. Aku juga adalah warga manusianya.
Manusianya memang payah untuk ditafsirkan. Pernah kulihat manusianya bagai sumpah-sumpah. Begitu licik dia menukar warnanya dengan warna setempat. Kerana itu menjadi payah kepada sesiapa pun untuk melihatnya. Cuma sewaktu aku dapat membezakan sumpah-sumpah daripada warna yang melatarinya, aku dapat melihat sumpah-sumpah dengan jelas. Betapa hodohnya sumpah-sumpah. Angguknya tiada henti-henti.
"Sumpah-sumpah hanya satu cabaran di dunia kalut ini," kata Jib sewaktu kami duduk-duduk sambil minum teh di warong mamak. "Pisau-pisau tanpa tangan juga jangan kaulupa?"
Kata-kata Jib itu mengingatkan aku kepada seseorang. Dia begitu laih kelihatan. Belukar masalahnya mungkin luas. Tetapi akhir-akhir ini laihnya seakan hilang. Ada keriangan yang dipancarkannya ketika melihatku mendepani tembok masalah. Keriangannya itukah kilauan pisau-pisaunya?
Adakah yang kudepani kini sumpah-sumpah atau aku menerima tikaman pisau-pisau tanpa tangan? Dirikukah yang mengizinkan sumpah-sumpah menari-nari dan pisau-pisau tanpa tangan menikam diriku bertubi-tubi? Dirikukah?
Pertanyaan sebegitu mula muncul dalam kotak fikirku. Kadang-kadang kutemui jawapannya. Kadang-kadang tidak. Jawapan hanya menimbulkan pertanyaan lagi. Pertanyaan menuntut jawapan. Akhirnya pertanyaan dan jawapan berperang dalam diriku. Aku diletihkan oleh pertanyaan dan jawapan. Pantai, laut, dan ombak melintas tiba-tiba di mataku.
"Apakah yang sedang engkau fikirkan?" tanya Jib kerana perbualan kami terhenti secara tiba-tiba.
"Tak ada apa-apa..."
"Aku tak percaya. Kau kulihat melayan fikiran tadi."
"Aku memikirkan sesuatu yang patut difikirkan."
"Kau tak mahu berkongsi denganku?"
"Setidak-tidaknya begitulah untuk sementara waktu ini."
Jib tidak bertanya apa-apa lagi dengan jawapanku itu. Kebetulan juga ketika itu kami terpandang Isa sedang berjalan menuju ke meja kami. Isa kawan kami. Tentu sahaja Isa akan duduk semeja dengan kami. Dan dugaan kami tidak meleset.
"Kau berbual-buallah dengan Jib. Aku ada urusan lain yang hendak diselesaikan," kataku meminta diri daripada Isa. Kemudian aku memandang Jib. "Jib, hidup ini menggerunkan."
Jib tersenyum. Isa kulihat terpinga-pinga. Pastinya nanti petang Isa akan mencariku untuk meminta penjelasan. Tetapi aku sudah jauh dari dunia yang simpang-siur jalan dan jiwa manusianya.
Aku berdiri di gigi air melihat laut dan ombak. Laut tetap menghantar ombak ke gigi air. Laut tetap mematuhi hukum alamnya. Dan laut tetap kelihatan cantik.
Laut cantik kerana ombaknya. Hidup juga indah. Hidup indah kerana cabarannya. Laut dan ombak, hidup dan cabaran. Laut, hidup, ombak dan cabaran tiba-tiba menyatu dalam diriku.
"Laut cantik dan hidup"
Suara ibu sewaktu berdiri di sisiku di gigi air melihat laut dahulu datang bagai bisikan ke telingaku. Itukah yang ibu maksudkan laut cantik dan hidup? Kuakui kata-kata ibu yang kusanggah dahulu adalah benar. Hanya jarak di sini terlalu jauh untuk kupulang mengakui kata-kata ibu itu benar.
Mengapakah aku mengambil masa terlalu lama untuk mengerti kata-kata ibu?
"Ibuuu...Laut itu hiduppp...!"
Kupekik sekuat hati di gigi air pada petang yang hampir dirampas senja. Tetapi gema suaraku tidak akan mungkin tiba ke telinga ibu yang ratusan kilometer jaraknya dari pantai ini. Suaraku bukan ombak laut yang melambung berkali-kali dan jatuh berkali-kali sebelum tiba ke gigi air dalam bentuk alunannya yang ganas atau dalam bentuk alunannya yang kecil. Suaraku terlalu lemah dan cepat hilang dalam tiupan angin laut.

 

Please login or register to leave a comment.
webmaster@mymasjid.net.my