Wanita Akal Senipis Rambutnya

Oleh aties
04-May-2003 20:58
Jangankan lelaki biasa, Nabi pun terasa sunyi tanpa wanita
Tanpa mereka, fikiran dan perasaan lelaki akan resah
Masih mencari walau ada segalanya
Apa yang tiada dalam Syurga?
Namun Adam tetap rindukan Hawa…
Dijadikan wanita daripada tulang rusuk yang bengkok untuk diluruskan oleh lelaki
Tetapi seandainya lelaki itu sendiri tidak lurus…
Mana mungkin kayu yang bengkok akan menghasilkan bayang yang lurus
Luruskan wanita dengan jalan yang ditunjukkan oleh Allah S.W.T.
Didiklah mereka dengan panduan dariNya
Janganlah cuba menjinakkan mereka dengan harta
Kerana nantinya mereka akan semakin liar
Jangan hiburkan mereka dengan kecantikan
Kerana nantinya mereka akan semakin derita
Kenalkan mereka kepada Allah, Zat yang paling kekal
Di situlah punca kekuatan dunia!
Akal senipis rambutnya, tebalkan ia dengan ilmu
Hati serapuh kaca, kuatkan ia dengan iman
Perasaan selembut sutera, hiasilah ia dengan akhlak
Suburkanlah ia kerana dari situlah nantinya mereka akan melihat nilaian dan keadilan Tuhan
Bisikkan ke telinga mereka bahawa kelembutan bukan bererti satu kelemahan
Ia bukan diskriminasi Tuhan
Sebaliknya di situlah kasih dan sayang Tuhan
Wanita lupa yang hakikat kejadiannya
Pasti tidak akan terhibur dan menghiburkan
Tanpa iman, ilmu dan akhlak
Mereka tidak akan lurus
Bahkan semakin membengkok
Itulah akibatnya andai wanita tidak kenal Tuhannya
Bila wanita menjadi derhaka
Pasti dunia lelaki akan menjadi huru-hara
Lelaki pula janganlah mengharapkan ketaatan semata-mata, tapi binalah kepimpinan
Pastikan sebelum memimpin wanita menuju Ilahi, pimpinlah dirimu kepadaNya
Jinakkanlah dirimu kepada Allah, nescaya akan jinaklah segala-galanya di bawah pimpinanmu
Janganlah mengharapkan isteri semulia Fatimah Az-Zahrah
Andai dirimu tidak sehebat Saidina Ali Karamallahuwajhah.

 

Please login or register to leave a comment.
webmaster@mymasjid.net.my