Terkini  Popular    Mula Topik

Opening New Topic Test ..

2012-04-24 14:57:12


Soalan:





         

Dalam rangka membuat persediaan sebagai seorang isteri, saya terbaca

beberapa pendapat berkenaan tanggungjawab isteri di rumah. Satu

pendapat mengatakan tanggungjawab isteri hanyalah melayan kehendak seks

suami manakala selainnya adalah tanggungjawab suami. Maka

suamilah menguruskan kerja-kerja rumah seperti mengemas, memasak,

membasuh pakaian dan menyapu lantai. Atau pilihan lain, suami

menyediakan pembantu rumah untuk menguruskan kerja-kerja rumah.

Pendapat kedua mengatakan tanggungjawab isteri ialah menguruskan

kerja-kerja rumah. Pendapat manakah yang benar dalam Islam?





 







Jawapan:         

Dalam Islam, apabila kita berhadapan dengan

dua atau lebih pendapat berkenaan hukum agama, maka

penyelesaiannya ialah mengambil pendapat yang paling menepati al-Qur’an

dan Sunnah. Ini dijelaskan sendiri oleh Allah:

“Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan)

dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada

(Kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya jika

kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian

adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.” [al-Nisa 4:59]





          Merujuk kepada soalan di atas, Rasulullah telah bersabda:

“Setiap daripada kalian adalah pemimpin dan setiap

daripada kalian akan dipersoal akan apa yang dipimpinnya. Seorang amir

adalah pemimpin (kepada rakyatnya), seorang lelaki

adalah pemimpin ke atas ahli keluarganya dan seorang wanita adalah

pemimpin ke atas rumah suaminya dan anak-anaknya. Maka setiap daripada

kalian adalah pemimpin dan setiap daripada kalian akan

dipersoal akan apa yang dipimpinnya.” [Shahih al-Bukhari, no: 4801]





         

Dalam hadis di atas, nyata bahawa Islam telah meletakkan tanggungjawab

kepimpinan urusan rumah dan anak-anak ke atas seorang isteri. Maka

sebagai pemimpin, isterilah yang bertanggungjawab menguruskan

kerja-kerja rumah. Tentu saja suami membantu sama, akan tetapi

bantuan suami lebih dari aspek penyediaan nafkah – yakni belanja

kewangan untuk kelengkapan rumah, peralatan menguruskan kerja rumah dan

barangan pasar serta runcit. Penyediaan nafkah

belanjawan ini merupakan tanggungjawab yang diwajibkan ke atas

suami sebagaimana firman Allah:





        

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang

bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah

melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas

orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki

telah membelanjakan sebahagian dari harta mereka (ke atas keluarga

yang menjadi tanggungannya).” [al-Nisa’ 4:34]





         

Adapun pembantu rumah, ia tidak termasuk tanggungjawab atau sebahagian

dari

nafkah suami. Ketika Rasulullah memperolehi beberapa tawanan

perang, anaknya – Fathimah – datang mengadu tentang tangannya yang

menjadi kasar (atau keletihan) kerana menguli tepung

bagi membuat roti untuk suaminya, Ali bin Abi Thalib. Fathimah

amat berharap Rasulullah dapat memberikan salah seorang tawanan perang

untuk dijadikan pembantu rumahnya. Namun Rasulullah tidak

memberikan, sebaliknya mengajar beberapa kalimah zikir berupa

Subhanallah (33 kali), Alhamdulillah (33 kali) dan Allahu Akbar (34

kali) untuk dibaca sebelum tidur. [Shahih al-Bukhari,

no: 4942]





         

Berdasarkan hadis ini, seandainya menguruskan kerja-kerja rumah bukan

tanggungjawab seorang isteri, tentu Rasulullah akan menerangkannya

kepada Fathimah. Seterusnya baginda akan memberikan salah seorang

tawanan perang yang diharapkan, menyuruh Ali bin Abi Thalib

menguruskan kerja-kerja rumah atau menyuruh Ali mengupah seorang

pembantu rumah.





         

Dalam sebuah hadis lain, Jabir bin Abdullah mengkhabarkan kepada

Rasulullah

bahawa dia baru menikahi seorang janda. Apabila Rasulullah

bertanya kenapa janda yang menjadi pilihannya, Jabir menjawab bahawa

ayahnya baru meninggal dunia dan beliau memerlukan seorang yang

wanita dewasa bagi mengurus dan mendidik adik-beradik

perempuannya. Rasulullah bersetuju dengan keputusan beliau itu dengan

bersabda: “Semoga Allah memberkati

kamu.” [Shahih Muslim, no: 2664]





         

Dalam hadis ini sekali lagi terdapat petunjuk di mana tanggungjawab

seorang

isteri ialah di rumah mengurus dan mendidik kanak-kanak.

Seandainya tugas didikan bukan tanggungjawab isteri, tentu Rasulullah

akan membetulkan keputusan Jabir.





         

Demikian beberapa hadis sahih yang sempat saya kemukakan secara ringkas

bagi

menerangkan bahawa tanggungjawab isteri ialah menguruskan

kerja-kerja rumah. Pendapat yang mengatakan tanggungjawab isteri

hanyalah melayan kehendak seks suami adalah tidak benar. Ia hanya

merujuk kepada satu-dua hadis sambil mengabaikan banyak hadis yang

lain. Terakhir, amat penting untuk para isteri dan  bakal para isteri

untuk tidak memandang kerja-kerja rumah sebagai

sesuatu yang remeh lagi tidak berstatus. Sebaliknya pandanglah ia

sebagai satu ibadah kepada Allah, satu ibadah yang sebenarnya agak mudah

tetapi mampu menjana pahala yang besar.Sumber : http://hafizfirdaus.com/content/view/518/127/

Diskusi

Komen anda
webmaster@mymasjid.net.my