Terkini  Popular    Mula Topik

Talkin

2005-07-20 13:31:40
Daripada talkin ke talkin!



DARIPADA Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda: Kepada orang yang sakit tenat (nazak), talkinkanlah (ajarkanlah) membaca kalimah `La ilaha illallah'. (Riwayat Muslim)

Sabdanya lagi yang bermaksud: Ajarkanlah orang yang hendak mati itu kalimah syahadah. (Hadis Muttafaq `alaih).

Hadis-hadis di atas menjelaskan bahawa Rasulullah s.a.w. menyuruh kita mentalkinkan atau mengajarkan kalimah tauhid kepada orang yang sedang menghadapi maut.

Ini kerana di dalam hadis yang diceritakan daripada Kasir bin Marrah, daripada Muaz bin Jabal bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: Sesiapa yang akhir perkataannya kalimah `La ilaha illallah', akan masuk syurga.

Selain itu, Umar al-Khattab juga pernah berkata: ``Hadirlah di tempat orang yang hampir mati, dan ingatkanlah mereka akan kalimah `La ilaha illallah' kerana mereka nampak apa yang kamu tidak nampak.''

Menurut Pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-Undang Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM), Md. Yunus Abd. Aziz, talkin dari segi bahasa bermaksud, mengajar. Manakala, talkin dalam bahasa Arab ialah `laqqana-yulaqqinu'. Ia membawa erti membimbing orang untuk mengikuti kata-kata yang diucapkan.

Jelas beliau, asas kepada talkin bertujuan mengingatkan orang yang hampir mati itu kepada iman dan kedudukannya.

Ini kerana, pada umumnya beringat ialah semenjak kelahiran sehingga saat menghadapi sakratul maut.

``Apa yang berlaku kepada masyarakat kita atau persepsi masyarakat kita tentang talkin, ialah sesuatu yang dilakukan di perkuburan selepas pengkebumian mayat.

``Sedangkan hakikatnya, talkin sebenarnya dilakukan pada waktu seseorang itu sedang menghadapi nazak kematian. Ia sebagaimana yang disebutkan dalam hadis pertama di atas.

``Masyarakat Islam sekarang, sebenarnya sudah biasa mengajarkan kalimah tauhid kepada orang yang hampir meninggal dunia, iaitu yang dimaksudkan talkin dalam erti kata sebenarnya.

``Tetapi mereka beranggapan bahawa ia hanyalah satu kebiasaan atau naluri orang yang hidup untuk membimbing orang yang akan meninggal dunia.

``Mereka tidak menyebutnya sebagai talkin sebagaimana suruhan Rasulullah s.a.w. kerana bagi mereka talkin ialah bacaan yang biasa diamalkan di perkuburan sebaik sahaja mayat dikebumikan,'' kata Md. Yunus sewaktu ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.

Terang beliau lagi, bertalkin hukumnya sunat menurut Imam Syaukani dengan alasan berpandukan hadis Rasulullah s.a.w. sewaktu mengkebumikan anaknya, Ibrahim.

Baginda bersabda: ``Wahai Ibrahim katakanlah, La ilaha illallah. Umar bertanya, ``Ya Rasulullah, adakah anak kecil yang tidak berdosa ini patut juga diajar?'' Jawab baginda: ``Ya''.

Melalui hadis di atas, jelas Md. Yunus, ia menunjukkan kepada kita bahawa kanak-kanak juga perlu ditalkinkan. Apatah lagi orang dewasa.

Menerangkan bagaimana cara bertalkin kepada orang yang hampir meninggal dunia, ujar beliau, ``Ajarkan kalimah tauhid itu dengan suara yang lembut, tenang di telinga kanan secara perlahan-lahan dan jangan kerap diulang-ulang.''

Sungguhpun amalan ini disarankan oleh Rasulullah s.a.w., tetapi tidak bermakna ia harus dipaksakan kepada orang yang sedang nazak.

``Jika dia hanya sekadar menyebut `Allah' pun sudah memadai. Kita mahu ucapan yang terakhir disebutkan olehnya itu ialah kalimah syahadah.

``Ada sesetengah ulama tidak membenarkan suasana sedang nazak itu diganggu dengan bacaan al-Quran dan Yasin kerana kita mengharapkan apa yang diajarkan mudah diterima. Kecuali sekiranya suasana belum begitu genting atau belum dalam keadaan nazak.

``Kalau orang yang nazak itu dapat menyebut perkataan `Allah', itu lebih baik. Namun sebaliknya sekiranya dia tidak dapat mengucapkannya. Terserahlah kepada Allah.

``Yang penting, urusan mereka yang berada di sekelilingnya adalah untuk mengajarnya,'' jelas beliau.

Menyentuh amalan talkin di atas kuburan pula, kata Md. Yunus, sebenarnya Rasulullah s.a.w. tidak pernah mengamalkannya. Ia termasuk dalam khilaf atau perselisihan pendapat para ulama.

Dalam masalah ini terdapat tiga pendapat ulama yang berbeza:

Hukumnya sunat. Ini adalah pendapat Mazhab Hambali dan Mazhab Syafie.

Ia bersandarkan keterangan Abu Umamah al-Bahili bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: ``Jika ada di antara kalian yang meninggal dunia, kemudian kuburannya diratakan dengan tanah, maka hendaknya ada di antara kalian yang berdiri dekat kepalanya dan berkata: ``Ya fulan bin fulanah.'' Sesungguhnya dia mendengar tetapi tidak boleh menjawab. Kemudian katakan lagi: ``Ya fulan bin fulanah.'' Kemudian dia akan duduk. Selepas itu panggillah lagi kali ketiga: ``Ya fulan bin fulanah.'' Maka dia akan menjawab: ``Tunjukkanlah kami, semoga kamu mendapat rahmat Allah.'' Tetapi kamu tidak dapat mendengarnya.''

``Maka Malaikat Munkar dan Nakir akan terlambat menjalankan tugasnya (menyoal orang yang mati). Malaikat yang satu berkata kepada yang lain: ``Pergilah, kita tidak perlu lagi duduk di sini kerana dia (orang yang mati) sudah diajar (ditalkin). maka Allah menjadi saksi bagi mereka berdua. Seorang sahabat bertanya kepada Nabi s.a.w. : ``Bagaimana seandainya nama ibunya tidak dikenal.'' Rasul menjawab: ``Nasabkan dia kepada Hawa?'' (Hadis ini diriwayatkan Ibnu Syahin dalam kitab Dzikrul Maut dengan sanadnya. Sedangkan Ibnu Hajar al-Asqalani mengalamatkan hadis ini kepada Tabrani).

Tambah Md. Yunus, Imam Nawawi (daripada Mazhab Syafie) pula mengatakan, meskipun sanad hadis tersebut lemah, tetapi masih boleh dipakai.

``Ulama hadis melihat bahawa menggunakan hadis lemah untuk mengajak kepada perbuatan yang dianjurkan agama, hukumnya dibolehkan, apatah lagi hadis tersebut diperkuat dengan hadis Amr bin Ash yang menyatakan: ``Maka berdoalah (untuk mayat) agar diberi ketabahan.'' (Riwayat Bukhari dan Muslim). Masyarakat Syam (kini, Syria) mengamalkan talkin sejak dulu hingga sekarang.

``Manakala Ibnu Taimiyyah berkata, diharuskan kerana talkin yang disebut itu telah di nukilkan daripada beberapa sahabat, bahkan mereka memerintahkannya, seperti Abu Umamah al-Bahili dan lainnya. Ada juga riwayat hadis lain daripada Rasulullah, namun hadis ini tidak sahih, dan tidak banyak sahabat yang mengamalkannya.

``Imam Maliki dan Hanafi pula mengatakan bahawa talkin selepas mati ini hukumnya makruh.

``Oleh kerana banyak berlaku perselisihan pendapat, maka ia masih diamalkan sehingga sekarang. Malah bukan sahaja di Malaysia tetapi turut menjadi amalan di negara-negara lain.

``Di Iraq contohnya, mereka membacakan talkin dengan turun ke dalam liang lahad dan berdiri menyampaikan talkin di bahagian kepala jenazah. Kemudian baru disempurnakan pengkebumian si mati,'' kata Md. Yunus yang tidak bersetuju sekiranya talkin di atas kubur dianggap sebagai bidaah

"Ilmu umpama air yang mengalir dari lembah ke muara, tadahlah ia dengan hati yang merendah pada Allah S.W.T"

Diskusi

Komen anda
webmaster@mymasjid.net.my