Terkini  Popular    Mula Topik

Sistem Kerja Lima Hari Seminggu Berkuat Kuasa 1 Ju

2005-06-17 08:06:02
Sistem kerja lima hari seminggu berkuat kuasa 1 Julai

KUALA LIPIS 16 Jun - Sistem kerja lima hari seminggu yang dinantikan oleh hampir 1 juta kakitangan awam akan dilaksanakan mulai 1 Julai ini.

Sehubungan itu, surat pekeliling mengenai perkara tersebut akan dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Samsuddin Osman dalam masa terdekat ini.

Berita gembira ini diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak pada sidang akhbar selepas merasmikan kilang ke-3 milik Mieco Chipboard Berhad, di Kechau Tui, di sini hari ini.

Sebelum ini kakitangan awam menikmati cuti hari Sabtu pada minggu pertama dan ketiga setiap bulan.

Najib bagaimanapun enggan mengulas lanjut. Beliau hanya berkata: ``KSN akan keluarkan surat pekeliling. Saya tak nak bagi (maklumat lanjut) takut salah. Maklumat mesti tepat, (takut) nanti timbul kekeliruan. Biar pekeliling rasmi dikeluarkan KSN.''

Sempena perhimpunan Hari Pekerja 2005 30 Mei lalu, kakitangan awam mendapat `bonus' apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan persetujuan kerajaan untuk melaksanakan sistem kerja lima hari seminggu.

Kata Perdana Menteri lagi, cadangan tersebut diteliti oleh satu jawatankuasa khas yang diketuai Jabatan Perkhidmatan Awam.

Bagaimanapun, apabila dilaksanakan kelak, waktu bekerja kakitangan awam akan ditambah kepada lapan setengah jam sehari pada hari biasa berbanding sekarang lapan jam sebagai menggantikan waktu bekerja pada Sabtu minggu kedua dan keempat.

Abdullah berpendapat, banyak kebaikan yang boleh diperoleh jika kakitangan awam hanya bekerja lima hari seminggu termasuk menggalakkan aktiviti pelancongan domestik.

Dengan pengumuman Najib, ini bermakna perjuangan Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berjaya apabila kerajaan melaksanakannya mulai 1 Julai ini.

Antara matlamat diwujudkan sistem kerja lima hari seminggu itu ialah untuk merancakkan lagi sektor pelancongan domestik.

Najib, ketika ditanya berkenaan perincian cuti mingguan bagi kakitangan awam kelak, berkata: ``Kita nak galak negeri yang bercuti mingguan pada hari Jumaat supaya memilih Jumaat dan Sabtu sebagai cuti umum supaya dengan ini bererti empat hari dia boleh berurusan dengan Kerajaan Pusat.''

Kini, Kerajaan Pusat dan beberapa negeri melaksanakan cuti mingguan pada hari Ahad.

Ditanya adakah Kerajaan Pusat bercadang menyelaraskan cuti mingguan bagi semua negeri, Najib menjelaskan, perkara itu terpulang kepada kerajaan negeri.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2005&dt=0617&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm"Hai insan yang alpa Kehinaan bagi mu Kebangaan bagi ku" [http://zumindar.250free.com]

Diskusi

Komen anda
webmaster@mymasjid.net.my