Terkini  Popular    Mula Topik

Tiada Pengangguran Jika Rajin Cari Rezeki

2005-06-14 09:06:42
Oleh
jeemiau
ISLAM tidak menyukai umatnya yang hanya berpeluk tubuh dan malas berusaha. Selagi seseorang itu bertenaga dan berdaya untuk menghasilkan sesuatu bagi kepentingan kehidupannya, maka selagi itulah dia bertanggungjawab menggunakan tenaganya untuk mendapatkan keperluan diri dan keluarganya.

Seseorang itu tidak boleh membiarkan dirinya dan orang dalam tanggungannya meminta-minta dan sentiasa mengharapkan pemberian orang lain. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Cukuplah dosa yang dipikul oleh seseorang itu, apabila dia mensia-siakan orang (isteri dan anak-anak) yang dalam tanggungannya.” (Hadis riwayat Abu Daud).

Dalam hal ini, Rasulullah pernah berpesan soal nafkah dan didikan ahli keluarga hendaklah diutamakan. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, katanya: “Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda bermaksud: Jika salah seorang antara kamu keluar pada waktu pagi untuk mencari kayu, lalu dia memikulnya di atas belakangnya; kemudian dia bersedekah dengannya dan tidak mengharapkan pemberian daripada orang lain, maka itu adalah lebih baik baginya daripada meminta-minta daripada orang lain. Tanpa mengira sama ada orang itu memberi kepadanya atau tidak kerana tangan yang berada di atas itu lebih mulia daripada tangan yang berada di bawah dan mulalah dengan memberi nafkah atau mendidik orang yang berada di bawah tanggunganmu terlebih dulu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dalam kitab zakat, hadis no 1337)

Diriwayatkan daripada Hakim bin Hizam, katanya, Rasulullah bersabda bermaksud: "Sedekah yang paling utama atau sedekah yang paling baik adalah sedekah daripada orang kaya dan tangan yang berada di atas itu lebih baik daripada tangan yang berada di bawah serta mulakanlah dengan orang yang berada di bawah tanggunganmu (isteri dan anak-anak).” (Hadis riwayat Muslim di dalam kitab zakat, hadis no 1716).

Berusaha dengan menggunakan kemampuan fikiran dan tenaga hendaklah disertai dengan tawakal dan doa. Hal ini kerana adunan usaha, tawakal dan doa akan menjadikan seseorang berasa yakin dengan kudrat (kuasa) dan iradat (kehendak) Allah.

Berusaha untuk mendapatkan rezeki halal dituntut dalam Islam, terutama bagi orang yang mempunyai tanggungan keluarga. Dalam al-Quran ada banyak ayat yang menganjurkan umat Islam supaya berusaha mencari rezeki halal.



Berusaha dan berikhtiar adalah cara untuk membaiki keadaan diri sama ada untuk kehidupan dunia atau akhirat. Tujuan keduniaan adalah berusaha mencari rezeki untuk memperbaiki keadaan kehidupan. Tujuan akhirat pula berusaha menyediakan bekalan amal kebajikan untuk menghadapi alam akhirat.

Berusaha untuk kehidupan dunia dan akhirat adalah sangat digalakkan dan harus pula diseimbangkan. Jangan pula usaha untuk dunia dilebihkan, tetapi untuk akhirat ditinggalkan. Kedua-duanya hendaklah diberikan perhatian sama, dunia diutamakan untuk kehidupan dan akhirat diutamakan untuk perhitungan.

Sering kita melihat seseorang yang kuat dan gigih berusaha tidak berjaya atau berhasil dalam usahanya. Dalam hal ini, seseorang Muslim perlu tahu bahawa tidak semua usaha yang dilakukan akan menampakkan hasil diharapkan. Ada usaha yang cepat dapat hasilnya. Ada usaha yang lambat dapat hasilnya dan usaha yang langsung tidak dapat hasilnya.

Ketentuan sesuatu perkara itu terpulang kepada kehendak Allah. Jika Dia menghendaki sesuatu itu jadi, maka akan jadilah ia. Jika Dia menghendaki sesuatu itu sebaliknya, jadilah ia sebaliknya. Apa yang penting adalah usaha dan doa. Adapun selepas itu terpulang kepada Allah (tawakal) untuk menentukan hasilnya.

Setiap usaha atau pekerjaan yang dilakukan hendaklah yang halal di sisi Allah. Apabila sesuatu usaha itu gagal, jangan berputus asa dan bersangka buruk pada Allah, sebaliknya anggaplah ia sebagai cubaan dan dugaan daripada-Nya.

Begitu juga jika sesuatu usaha berhasil, janganlah pula sombong serta lupa akan kuasa yang memberi kekayaan itu. Syukuri nikmat Allah dan tingkatkan amal kebajikan supaya mendapat berkat daripada Allah. Di samping itu, jangan lupa pula menunaikan hak harta iaitu zakat.

Usaha yang baik akan mendapat ganjaran baik sama ada di dunia atau akhirat. Sementara usaha yang tidak baik, pasti akan mendapat balasan setimpal dengannya, walaupun kadang kala perkara itu tidak nampak di dunia, tetapi di akhirat pasti akan diperlihatkan.

Seseorang yang memperoleh atau mendapat apa yang dikehendakinya di dunia tidak semestinya akan mendapat apa yang dikehendakinya di akhirat. Ada orang yang senang di dunia, tetapi belum tentu akan senang pula di akhirat. Segala-galanya bergantung kepada penghakiman Allah.

Oleh demikian, setiap usaha hendaklah disertakan dengan tawakal serta doa supaya diberkati Allah. Allah berfirman bermaksud: “Dan (ingatlah)! Sesiapa berserah diri semata-mata kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).” (Surah al-Thalaq, ayat 3)

Diskusi

Komen anda
webmaster@mymasjid.net.my