Terkini  Popular    Mula Topik

Perkahwinan ‘menunjuk-nunjuk’

2005-05-20 10:19:19
Oleh
isni
Perkahwinan ‘menunjuk-nunjuk’ kebesaran, kehebatan dibidas


KUALA LUMPUR, 6 April - Perkahwinan paling berkat adalah yang membabitkan mas kahwin paling rendah, bukannya wang hantaran puluhan ribu ringgit, kata Senator Ustazah Zailah Mohd Yusuf.


Beliau mengulas ‘trend’ semasa perkahwinan membabitkan beberapa personaliti televisyen dan orang kenamaan yang mempamerkan gaya mewah dan keterlaluan.

Katanya, di kalangan orang Melayu sekarang seolah-olah wang hantaran itu paling utama dan melambangkan satu kemegahan dan kemewahan.

Beliau juga berkata, dalam Islam tidak melarang pasangan pengantin untuk mengadakan walimatulurus bahkan ia digalakkan bagi mengisytihar kepada masyarakat di samping menghindari fitnah.

"Tidak kira siapa orangnya sama ada orang kenamaan atau biasa yang paling penting ialah doa untuk keberkatan dalam majlis tersebut," katanya.

Ini katanya, jika wang hantaran diletakkan sebagai hadiah yang terlalu tinggi merupakan kekangan utama ramai orang lelaki membujang sehingga melebihi 40 tahun ke atas.

"Masalah ini juga membuat lelaki kurang berduit takut untuk melamar anak-anak gadis, maklum sajalah anak muda yang baru bekerja tidak mampu untuk menyediakan wang hantaran RM10,000 yang sekarang ini sudah menjadi kebiasaan," katanya.

Tambahan pula katanya, dalam situasi kos hidup yang serba meningkat pada hari ini tidak semuanya lelaki mempunyai pendapatan tetap.

Oleh kerana itu katanya, ramai lelaki sekarang apabila usia mencecah 40-an baru dapat mendiri rumah tangga.

"Apabila berkahwin pada usia yang sudah lewat ia adalah satu kerugian terutamanya dari segi perkembangan zuriat.

"Sepatutnya dalam lingkungan umur sebegitu anak-anaknya sudah besar malah ada yang sudah menimang cucu, tetapi jika kahwin lewat anak masih kecil walaupun sudah pencen," katanya sambil menambah bahawa dari segi perancangan masa pun tidak tepat.

Oleh sebab katanya, Islam menggalak umatnya berkahwin awal sebagaimana Rasulullah s.a.w. berkahwin semasa umurnya 25 tahun manakala seorang isterinya Sayidatina Aisyah dikahwini ketika berusia sembilan tahun.

Berkahwin awal katanya, dapat mengelakkan gejala sosial selain boleh memberi perhatian lebih kepada pendidikan anak-anak.

Katanya, lagi dalam mencari jodoh yang sesuai ibu bapa sewajarnya memainkan peranan bukannya seperti mana berlaku sekarang iaitu anak-anak yang membuat pilihan.

Sehubungan itu, beliau menyarankan kepada kerajaan mewujudkan kempen perkahwinan bagi menggalakkan di kalangan mereka yang cukup umur berkahwin, sekali gus menguntungkan negara.

Dalam pada itu katanya, Islam tidak membataskan seseorang untuk mengadakan majlis perkahwinan selagi mampu tetapi tidak boleh sampai ke peringkat pembaziran.

"Islam melarang pembaziran begitu juga ia tidak boleh menunjuk-nunjuk ataupun riak kerana perkahwinan itu adalah satu ibadah, jika berniat untuk bermegah-megah majlis tersebut tidak ibadah lagi serta tidak mendapat pahala," katanya.

Selain itu katanya, budaya bersanding serta adat-adat yang tidak kena mengena dengan budaya Islam perlu dibanteras.

"Sekarang ini menjadi satu tradisi orang Melayu mula bersanding kembali sedangkan ia adalah budaya Islam," katanya sambil meminta para ulama tampil memberi teguran.

Dalam satu hadis katanya, ada menyebut bahawa 'sesiapa yang menyerupai kaum lain dia termasuk dalam kumpulan kaum itu.'

Sementara itu seorang ustaz yang enggan namanya disiarkan menegur media massa yang mempromosi ‘perkahwinan menunjuk-nujuk’ yang penuh dengan unsur pembaziran kerana ia akan menjadi ikutan masyarakat.

“Sewajarnya media mempromosi cara hidup sederhana yang mengikut landasan agama dan bukan turut serta dalam ‘budaya jahil itu,” katanya.

Oleh Roy Rasul
ISNI

Diskusi

Komen anda
webmaster@mymasjid.net.my