Terkini  Popular    Mula Topik

Dah 20 Tahun Tapi....

2005-05-18 09:17:48
KLANG 17 Mei - Setelah hampir 20 tahun penduduk di sekitar Rantau Panjang di sini bersabar dengan pelbagai kerenah lori-lori besar di Lebuh Raya Shapadu Lama, perasaan marah mereka yang dipendam selama ini akhirnya meletus.

Keadaan itu terpancar apabila kira-kira 500 penduduk tempatan di situ berkumpul di depan Sekolah Rendah Agama Rantau Panjang sebagai tanda bantahan mereka ekoran seorang pelajar perempuan berusia tujuh tahun digilis sebuah lori semalam.

Kali ini, mereka benar-benar marah sehingga ada sekumpulan penduduk bertindak membawa pengusung mayat mangsa kemalangan maut semalam, Nur Salina Saparedi, 7, dan meletakkannya di tengah-tengah lebuh raya itu.

Tujuannya, mereka mahu mempamerkan pengusung mayat itu kepada pemandu-pemandu lori di situ bahawa ia adalah lambang `kematian'.

Sudah berpuluh-puluh orang kampung di situ maut akibat kemalangan membabitkan kenderaan berat.

Laluan itu sesak dengan lori-lori kargo yang berulang-alik antara Pelabuhan Utara di Pelabuhan Klang dan Kuala Lumpur atau tempat-tempat lain.

Penduduk di situ berkumpul mulai pukul 10 pagi dan turut membawa pelbagai sepanduk yang meminta kerajaan dan konsesi lebuh raya Shapadu Corporation Berhad (Shapadu) menyediakan kemudahan jejantas atau lampu isyarat bagi menjamin keselamatan terutamanya pelajar sekolah melintas jalan.

Tindakan penduduk kampung itu telah menyebabkan laluan yang menghubungkan antara Pelabuhan Klang Utara dengan Klang itu sesak teruk di kedua-dua hala sehingga 10 kilometer.

Keadaan bertambah kelam-kabut kira-kira pukul 11 pagi apabila satu kemalangan berlaku membabitkan dua buah motosikal yang ditunggangi oleh tiga lelaki.

Kemalangan itu pada mulanya telah menyemarakkan lagi kemarahan penduduk kampung kerana mereka menyangka penunggang motosikal berkenaan telah dilanggar oleh sebuah treler.

Keadaan riuh-rendah itu bagaimanapun berjaya dikawal oleh sepasukan polis dan orang ramai mula bersurai kira-kira pukul 12 tengah hari.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil berkata, penduduk kampung berkenaan mendesak supaya Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Pengangkutan segera mewartakan laluan berkenaan untuk dilalui oleh kenderaan ringan sahaja.

Beliau berkata, walaupun beliau sendiri pernah dijanjikan tindakan mewartakan laluan berkenaan akan dilakukan namun sehingga kini usaha itu masih belum lagi dilaksanakan.

Katanya, proses berkenaan perlu disegerakan kerana jumlah kemalangan maut yang tinggi di laluan tersebut kebanyakannya disebabkan oleh kehadiran terlalu banyak kenderaan berat yang berulang-alik ke Pelabuhan Utara.

``Jangan sampai banyak lagi yang mati baru pihak kementerian sibuk untuk mewartakannya, jalan penyelesaiannya sudah ada jadi laksanakanlah dengan segera, jangan nak tunggu-tunggu lagi.

``Pihak konsesi lebuh raya iaitu Shapadu juga perlu bertanggungjawab dan mereka mesti menyediakan kemudahan jejantas atau lampu isyarat untuk kemudahan orang ramai termasuk pelajar sekolah melintas jalan,'' ujar beliau.
Ya Allah Ya Tuhanku..aku redha akan ujian dari-MU..pintaku,berikanlah aku kekuatan dan ketabahan untuk mengharungi semua ini...uhuksss...uhuksss...

Diskusi

Komen anda
webmaster@mymasjid.net.my