Terkini  Popular    Mula Topik

Kelesuan Umat Islam

2005-04-29 09:53:42
Oleh
Zana.
Kelesuan umat Islam - Serangan luar atau kelemahan dalaman?

Penguasaan Barat terhadap umat Islam kian tampak sejak mutakhir ini. Mereka bukan sahaja menjajah mentaliti, budaya atau gaya hidup umat Islam, malah menjajah “fizikal” umat Islam. Bukankah kini negara-negara Arab begitu mudah dipujuk dan dicucuk hidung?

Kita sering tertanya, apakah punca kelemahan umat Islam hari ini? Adakah disebabkan oleh kelebihan dan kekuatan musuh-musuh Islam atau berpunca daripada kelemahan dalaman umat Islam? Menurut Dr.Yusuf al-Qardhawi dalam bukunya Aina al-Khalal, beliau menyatakan bahawa sebenarnya umat Islam bukan lemah tetapi kurang kesedaran. Mereka lupa diri dan tidak menggunakan seluruh kekuatan dan potensi diri. Lalu mereka tidak mahu berdikari sebaliknya banyak bergantung kepada Barat. Daya fikir mereka sangat kerdil, sempit, dan beku (jumud).

Realiti yang berlaku pada hari ini, umat Islam mengamalkan budaya taklid yang merugikan, sedangkan kekuatan rohani amat pudar. Mereka ketandusan ilmu, bankrap idea, muflis akhlak, dan ukhuwah antara umat Islam terlalu lemah. Dalam keadaan itu, kerja mereka tidak berkualiti dan kurang produktiviti. Sebaliknya membiarkan sahaja sumber ekonomi dieksploitasi oleh musuh-musuh Islam.

Wajar kita fahami bahawa kelemahan dunia Islam hari ini bukanlah disebabkan hebatnya serangan musuh atau cekapnya perancangan mereka. Tetapi musuh Islam dapat menguasai umat Islam adalah kerana mereka bijak mengambil kesempatan. Maka pada saat umat Islam berhadapan pelbagai masalah, kepincangan, dan kelemahan dalaman, mereka berbuat sesuatu mempengaruhi umat Islam.

Sebenarnya, dunia Islam sejak abad ke-18 dan 19M telah dilanda sindrom kejahilan dan kebekuan fikiran. Keadaan ini telah membuka ruang yang luas kepada mereka untuk menyerang pemikiran, budaya, politik, dan ketenteraan. Serangan Barat ini hakikatnya merupakan dendam terhadap kekalahan mereka dalam Peperangan Salib.

Hari ini seharusnya kita akui bahawa umat Islam telah kalah dalam menghadapi serangan-serangan Barat. Umat Islam telah tewas sebelum berperang. Pada hal umat Islam mempunyai kekuatan yang belum pun digunakan sebaiknya. Inilah sebenarnya kelemahan umat Islam. Menurut Dr. Yusuf al-Qardhawi, akibat kekalahan kepada pihak Barat, umat Islam telah “menghakis wajah keislaman dan mengembalikan wajah jahiliyah”. Hal ini dirasai dalam segenap bidang termasuk pendidikan, ilmu pengetahuan, kegiatan ekonomi, kewangan, ketenteraan, kesenian, sosial, sains dan teknologi, kebudayaan, dan media massa.

Bidang pendidikan lebih serius menerima kesan kekalahan apabila ilmu-ilmu utama dipisahkan daripada Islam. Ilmu kejuruteraan, psikologi, sosiologi, biologi, astronomi, fizik, kimia, matematik, ekonomi, dan perubatan yang diajar di universiti-universiti terpisah jauh daripada roh agama. Walhal kita mengetahui bahawa pengasas dan pelopor ilmu-ilmu ini ialah para ilmuwan Islam.

Agak malang, para mahasiswa Islam terpaksa merujuk fakta-fakta atau teori-teori Barat dalam mempelajari ilmu-ilmu tersebut. Sedangkan fakta dan teori itu kadangkala bertentangan dengan ajaran Islam. Kesannya, lahir dalam kalangan mereka golongan yang pemikiran, nilai, jati diri, cita rasa, dan aliran serta gaya hidup berkiblatkan tamadun Barat.

Sememangnya menjadi cita-cita Barat untuk menjadikan semua orang di dunia ini hidup serupa dalam satu budaya. Berfikiran serupa tanpa perbezaan keperibadian. Mereka mahu melahirkan anak-anak Muslim “celupan Barat” yang berwatak sekular serta jauh daripada akhlak Islam.

Barat bukan hendak menghapuskan nama Islam tetapi pemikiran anak-anak Muslim itulah yang mahu dipastikan berubah. Malah mereka mahu persepsi umat Islam terhadap sistem perundangan, politik, akhlak, dan budaya juga berubah. Mereka yang mendapat didikan ini dapat dilihat perubahan melalui tingkah laku, tindakan, dan hasil pemikiran (idea) mereka.

Sejarah telah menyaksikan kelahiran tokoh-tokoh pemuja tamadun Barat seperti Ziya Gokalp (1875-1924M) dan Mustafa Kamal al-Tartuk (1881-1934M) di Turki. Begitu juga Syed Ahmad Khan (1817-1898M) di India. Manakala di Mesir kita akan temui Muhammad Ali (1765-1845M), al-Tahtawi (1801-1873M), Qasim Amin, Ali Abdul Raziq, Taha Husin, dan lain-lain lagi yang berkesinambungan sehingga ke hari ini.

Sejarah telah membuktikan betapa anak-anak berdarah Islam tetapi berminda Barat seperti Mustafa Kamal al-Tartuk. Beliau berjaya melaksanakan penghapusan keagamaan, pendidikan, dan apa sahaja yang berkaitan dengan Islam. Malah setelah memegang kuasa pada 1923, beliau memusnahkan secara total sistem politik dan sosial Islam Turki. Sebaliknya beliau telah menggantikannya dengan sistem sekularisme dan nasionalisme. Kini Turki tidak ubah seperti negara-negara Eropah lain. Ketika gerakan sekularisasinya sampai ke kemuncak, azan diharamkan dalam Bahasa Arab (ditukar ke dalam Bahasa Turki). Pakaian Barat diwajibkan ke atas setiap rakyat dan wanita Islam tidak dibenarkan menutup aurat. Manakala pemakaian serban, terbus, dan tudung kepala dianggap sebagai satu kesalahan jenayah.

Seorang reformis dakwah Mesir, Hasan al-Banna pernah melahirkan kebimbangannya terhadap serangan Barat yang tidak mampu ditepis oleh umat Islam. Ungkapan beliau ini dirakamkan dalam bukunya, Rasa‘ilal-Imam al-Syahid Hasan al-Banna. Kata beliau, “Barat telah membawa gelombang kehidupan kebendaan kepada negara-negara Islam. Mereka berusaha menghalang umat Islam daripada mempunyai unsur perubahan dan kekuatan. Melalui serangan sosial yang didukung oleh kelicikan politik, kepintaran helah serta kekuatan persenjataan, maka usaha mereka berhasil. Serangan sosial yang tersusun telah membawa kejayaan besar. Suatu serangan yang rapat ke jiwa dan minda akan berbekas sepanjang hayat. Serangan ini lebih berbahaya daripada serangan ketenteraan. Keadaan ini menyebabkan bertambahnya kekaguman umat Islam kepada tamadun Barat. Akhirnya, negara-negara Islam mengisytiharkan bahawa “tidak ada jalan lain untuk maju kecuali mengambil Barat sebagai acuan
(model).”

Jadi, kejayaan Barat mendominasi umat Islam hakikatnya bertitik-tolak daripada kelemahan dalaman umat Islam. Mereka menjadi umat yang hilang punca. Umat yang lebih menitikberatkan perselisihan remehtemeh daripada berani membincangkan isu-isu besar dan mencabar. Walaupun umat Islam mewakili lebih satu perempat penduduk dunia, tetapi mereka menjadi umat yang kerdil, dan tiada kualiti. Umat Islam tidak mampu berperanan besar sama ada dalam bidang ilmu pengetahuan mahupun dalam bidang pengeluaran. Malah mereka menjadi umat yang tidak berupaya mempertahankan diri. Menurut Syeikh Muhammad al-Ghazali, umat Islam lebih hampir kepada mati daripada hidup. Umat Islam tidak berdaya berbuat apa-apa selain berteriak dan melolong. Mereka tidak pandai menggunakan kekayaan yang dikurniakan Allah sehingga begitu mudah diserahkan kepada pihak musuh.

Realiti ini telah dan sedang terjadi. Malah hal ini akan terus berulang sekiranya umat Islam masih tidak mahu sedar daripada kancah kejahilan. Lalu meneruskan permusuhan, persengketaan, dan perpecahan. Selain itu, kelesuan umat Islam juga disebabkan kegagalan mereka menggembleng nilai-nilai akidah dan kekuatan rohani. Sebaliknya mereka meninggalkan jauh tuntutan-tuntutan Allah dalam al-Quran dan Sunnah Rasul-Nya. Pada masa yang sama umat Islam mengambil nilai-nilai Barat yang disangka penawar.

Tegasnya, dalam menangani situasi kemelut umat Islam hari ini, suatu tindakan kolektif dan bersepadu seluruh umat Islam perlu diambil. Umat Islam perlu kembali kepada suluhan al-Quran iaitu merapatkan kesatuan persaudaraan sesama Islam, meninggikan kualiti ilmu, dan memurnikan institusi ulama dan
umara. Jika tidak, keagungan tamadun Islam silam hanya menjadi catatan sejarah yang sukar untuk dijelmakan kembali.
"Kesabaran adalah tunjang kekuatan dan kebahagiaan di dunia mahupun akhirat...."

Diskusi

Komen anda
webmaster@mymasjid.net.my