Hadis Ibnu Abbas r.a: Daripada Nabi s.a.w baginda bersabda: Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang terdapat anjing atau gambar-gambar.
Hadis Aisyah r.a katanya: Kami mempunyai kain langsir yang bergambar burung. Orang yang hendak masuk, tentu akan melihat kain langsir yang bergambar tersebut. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku: Gantilah kain langsir ini, kerana setiap kali aku masuk dan melihatnya aku menjadi ingat kepada dunia. Aisyah berkata: Kami mempunyai benang yang boleh kami katakan sutera, maka kami memakainya.
Hadis Ibnu Umar r.a: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Orang-orang yang membuat atau melukis gambar-gambar akan diseksa pada Hari Kiamat. Maka akan difirmankan kepada mereka: Hidupkan apa yang telah kamu ciptakan.
Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Manusia yang paling berat seksanya pada Hari Kiamat, ialah para juru gambar.
Hadis Ibnu Abbas r.a katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap tukang gambar akan di masukkan ke dalam Neraka. Allah akan menjadikan baginya dengan setiap gambar yang dibuatnya nafas yang menyeksanya di Neraka Jahanam.
Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t berfirman: Siapa lagi orang yang lebih zalim daripada orang yang cuba membuat ciptaan sama seperti makhluk-Ku? Maka lebih baik mereka cuba menciptakan zarah, menciptakan biji-bijian, atau mencipta biji gandum.
