Hadis Amir bin Rabi'ah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Apabila kamu melihat jenazah diusung, maka berdirilah kerananya sehinggalah jenazah tersebut diusung jauh dari kamu atau sehingga jenazah tersebut diletakkan di dalam kubur.
Hadis Abu Said r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila kamu sekalian mengiringi jenazah, maka janganlah kamu duduk sebelum jenazah itu dikebumikan.
Hadis Jabir bin Abdullah r.a katanya: Ada jenazah diusung berhampiran kami, lalu Rasulullah s.a.w berdiri kerananya. Kamipun turut berdiri bersama-sama baginda. Kemudian kami berkata: Wahai Rasulullah! Itu jenazah seorang perempuan Yahudi. Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya kematian itu adalah satu hal yang menggentarkan. Oleh itu apabila kamu melihat jenazah maka berdirilah!.
Hadis Qais bin Saad r.a: Diriwayatkan daripada Ibnu Abu Laila r.a katanya: Bahawa Qais bin Saad dan Sahl bin Hunaif r.a sedang berada di Qadisiyah. Tiba-tiba jenazah diusung berhampiran mereka, maka mereka pun berdiri. Lalu dikatakan kepada mereka berdua: Jenazah itu adalah dari penduduk tempatan iaitu orang kafir. Mereka berdua berkata: Pernah suatu ketika, Rasulullah s.a.w didatangi jenazah. Lalu Baginda berdiri. Ketika diberitahu kepada baginda bahawa: Itu adalah jenazah orang Yahudi. Lantas Rasulullah s.a.w bersabda: Bukankah dia juga manusia?.
