FADHILAT BULAN SYAABAN

Oleh ida
02-Sep-2005 08:40:14


Bulan Syaaban merupakan bulan kedua selepas Rejab yang penuh dengan keberkatan. Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.

Erti "Syaaban" ialah berpecah atau bercerai-berai. Ia dinamakan demikian kerana orang-orang Arab pada bulan tersebut bertempiaran ke mana-mana tempat untuk mencari air, setengahnya mengatakan bahawa mereka mencari air itu di gua-gua. Ada pendapat pula mengatakan Syaaban bermaksud pemisah iaitu pemisahan di antara bulan Rejab dan Ramadhan.

Menurut Yahya bin Mu'adz pula: Sesungguhnya perkataan Syaaban itu terbentuk dari lima huruf, yang mana setiap huruf merupakan singkatan kurnia kepada orang-orang yang beriman. adalah singkatan yang bererti kemuliaan dan pertolongan, singkatan kepada yang bererti keperkasaan dan keutamaan, singkatan kepada ertinya kebaikan, singkatan bagi ertinya rasa kasih sayang dan singkatan bagi yang bererti cahaya.

Dari berbagai keterangan mengenai pengertian bulan Syaaban itu tadi dapatlah disimpulkan bahawa pada bulan ini adalah masa untuk manusia berebut-rebut mengejar kebajikan sebanyak mungkin sebagai latihan dan persediaan untuk memasuki bulan Ramadhan.

Rasulullah S.A.W.. telah bersabda yang maksudnya:
"Tahukah kamu sekalian, mengapa dinamakan bulan Syaaban?" Maka umatnya menjawab: "Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui".
Baginda bersabda:
"Kerana di dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali." (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama).
Allah S.W.T mengangkat darjat orang yang menghidupkan bulan ini dengan amalan ibadat. Dalam bulan ini, Allah S.W.T banyak memberi rahmat dan kurnia kepada hamba-Nya. Mengenai rahmat Allah itu Rasulullah S.A.W. ada bersabda yang bermaksud, "Allah mengangkat amalan-amalan semua hamba-nya pada bulan ini."
Orang yang membesarkan bulan ini dengan beribadat, akan terpelihara daripada maksiat, taubatnya diterima juga terselamat daripada bencana pada tahun berkenaan. Sabda Rasulullah S.A.W., "Barang siapa membesarkan Syaaban dan bertaqwa kepada Allah S.W.T serta taat dan juga menahan diri daripada maksiat, Allah akan mengampuni dosa-dosanya dan menyelamatkan dia daripada segala bencana yang berlaku pada tahun itu, juga daripada sakit-sakit."

Kasih dan ketaatan orang yang beribadat pada tahun itu terhadap Allah akan kekal. Sabda Rasulullah S.A.W., "Barangsiapa menghidupkan malam dua hari raya dan malam pertengahan bulan Syaaban. Maka hatinya tidak mati biarpun semua hati mati ketika itu."

Dalam pada itu bagi mendapat keberkatan Syaaban, adalah dituntut menunaikan sembahyang sunat dua rakaat pada malam Nisfu Syaaban iaitu malam yang ke-15 pada bulan Syaaban. Sembahyang sunat ini dilakukan selepas menunaikan solat fardhu Maghrib dan selepas sembahyang sunat Ba'diyah dengan membaca surah "Qul yayyuhal Kafirun.." pada rakaat pertama dan surah "Qul huwallahu ahad.." pada rakaat terakhir. Selepas selesai sembahyang sunat Nisfu Syaaban disunatkan juga membaca surah Yaasin dan memohon doa dilanjutkan usia, kekuatan untuk beribadat serta memohon ketetapan iman.

Keutamaan Bulan Syaaban
Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada Sayidatina Aisyah R.A., beliau telah berkata yang maksudnya:
"Adalah Rasulullah S.A.W.. sering berpuasa hingga kami menyangka bahawa Baginda berpuasa berterusan dan Baginda sering berbuka sehingga kami menyangka bahawa Rasulullah akan berbuka seterusnya. saya tidak pernah melihat Baginda berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadhan dan saya tidak pernah melihat Baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak dari puasanya di bulan Syaaban." (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Dari hadis di atas dapatlah difahami bahawa ini menunjukkan kelebihan bulan Syaaban dari bulan-bulan yang lain dari segi pemilihan bulan untuk beramal ibadat selain dari bulan Ramadhan.
Selain dari itu, Rasulullah S.A.W. pernah mengumpamakan keutamaan bulan ini dengan keutamaan diri Baginda sendiri ke atas nabi-nabi yang lain. Sabda Baginda yang maksudnya:
"Keutamaan bulan Syaaban ke atas bulan-bulan yang lain adalah seperti keutamaan saya di atas semua nabi-nabi yang lain, sedangkan keutamaan bulan Ramadhan ke atas semua bulan yang lain adalah seperti keutamaan Allah Taala ke atas makhluk-Nya."

hanya kepada Mu aku berserah...
Please login or register to leave a comment.

Aktiviti Pengguna

Audio/Video Kuliah Terkini